Desire
Kumpulan Desire merupakan sebuah kumpulan rock di Malaysia yang berasal dari negeri Kelantan Darul Naim. Pengasas bagi kumpulan Desire ini ialah Razli Hussain (pemain gitar utama) yang telah menubuhkan kumpulan ini pada tahun 1985. Nama asal ialah D'Zai. Kumpulan Asal Desire ini terdiri daripada Ranzmie (penyanyi), Razli (gitar), Eddie (bass) dan Ali (drum). Kumpulan D'Zai amat terkenal di negeri Kelantan pada era 80an dan merupakan juara dalam pertandingan Juara Rock Negeri Kelantan pada tahun 1985.
Pada tahun 1986, Desire mendapat tempat ke 4 dalam pertandingan Juara Juara Rock Malaysia (pada ketika itu kumpulan May menjadi juara.). Setelah beberapa anggota baru bertukar ganti (Saiful dan Zuki), difahamkan saudara Saiful (kini arwah) telah mencadangkan nama kumpulan ditukarkan kepada nama Desire. Pada tahun 1987, kumpulan ini telah menjadi juara dalam pertandingan Juara-Juara Rock Malaysia ke 2. Bertitik tolak dari situ, syarikat Polygram telah berminat menawarkan peluang kepada kumpulan Desire untuk merakamkan album pertama.