Azlina Aziz
Azlina Aziz (dilahirkan sebagai Azlina binti Abdul Aziz; 6 Jun 1962 di Singapura) merupakan salah seorang pelakon dan penyanyi wanita di Malaysia. Beliau merupakan anak kepada penyanyi, pelakon dan penari yang terkenal iaitu Normadiah. Bapa beliau ialah Aziz Jaafar, iaitu seorang seniman veteran yang berlakon di dalam filem-filem Melayu. Beliau mempunyai seorang adik iaitu Liza Aziz.
Kerjaya seninya bermula ketika beliau menglibatkan diri sebagai penari kumpulan Normadiah Dancer's iaitu di bawah pimpinan ibunya. Beliau seringkali muncul sebagai pengiring ketika artis membuat persembahan dalam rancangan hiburan televisyen terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sekitar penghujung tahun 70-an. Beliau juga berpeluang untuk mengadakan persembahan nyanyian di khalayak apabila selalu mengikuti ibu bapanya tatkala menghadiri majlis-majlis hiburan. Selain itu, beliau juga diberi peluang untuk muncul sebagai pelakon tambahan dalam filem-filem yang melibatkan ibu bapanya pada waktu itu. Antara filem berkenaan adalah seperti Sumpah Semerah Padi, Dendang Perantau dan sebagainya.