Awie
Dato' Ahmad Azhar bin Othman, DIMP atau lebih dikenali sebagai Awie (lahir 24 November 1968) ialah salah seorang penyanyi rock dan pelakon terkenal Malaysia dan vokalis kumpulan Wings. Dilahirkan di Datuk Keramat, Kuala Lumpur, kerjaya muzik Awie bermula pada 1986 apabila beliau menyertai kumpulan Wings. Ketika popular bersama Wings, beliau memperkembangkan bakatnya yang semula jadi dalam bidang lakonan menerusi filem pertamanya Pemburu Bayang pada tahun 1993.
Awie kemudiannya mengambil langkah untuk meninggalkan Wings dan memulakan kerjayanya sebagai penyanyi solo bermula pada 1993 apabila beliau melancarkan album solo eponim pertamanya pada 1994 dan telah terjual sebanyak 220,000 unit menjadikan album tersebut sebagai pemegang rekod penjualan album tertinggi bagi artis solo lelaki di Malaysia sehingga kini, yang sebelum itu diungguli oleh Saleem (Iklim) menerusi album solo pertamanya yang berjudul Gabungan Dua Insan Seni - Saleem & Wan Zul yang mempertaruhkan single popular "Aduhai! Seribu Kali Sayang" pada tahun 1993 yang terjual sebanyak 219,000 unit.